Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi / Foto : Ihsan Majlis Perundingan Kampung Berserumpun Kawasan 4 Rancangan Perumahan Negara Panchor, Mengkubau
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 28 Februari. - Ahli Majlis Perundingan Kampung (MPK) merupakan penggerak utama bagi sesebuah kampung dan antara tulang belakang ketua kampung dalam menjayakan apa jua projek dan aktiviti-aktiviti kampung.
Justeru, Pemangku Penghulu Mukim Mentiri, Awang Faidil Rosemady bin Mohamad yang juga selaku Ketua Kampung Kawasan 4 Rancangan Perumahan Negara Kampung Panchor, Mengkubau menzahirkan penghargaan dan terima kasih atas kerjasama ahli-ahli di bawah tadahannya iaitu MPK Berserumpun Kawasan 4 dengan meraikan pada Majlis Doa Kesyukuran dan Bersungkai bersama di salah satu reruai peniaga gerai Ramadan MPK berkenaan iaitu Awang Roslee bin Haji Metali.
Awang Faidil Rosemady yang juga selaku Pengerusi MPK berkata bahawa majlis pada petang itu diselajurkan dengan penyampaian baju MPK baharu sebagai pemangkin semangat kepada seramai 25 ahli atas pengorbanan masa, tenaga dan sebagainya dalam sama-sama mengungkayahkan apa jua aktiviti dan program berikutan kerja sukarelawan mereka tanpa mengharapkan sebarang bayaran.
“Sepanjang dua tahun ini mereka tetap berdiri di belakang saya dengan melalui pembahagian tugas dan peranan masing-masing demi mencapai kemaslahatan kemajuan kampung," katanya.
Tambahnya, lantikan ahli-ahli MPK mereka itu adalah selama lima tahun dan meskipun sekarang baru dua tahun penglibatan mereka, pihaknya juga merancang beberapa perancangan bagi masa akan datang juga nanti.
Adapun ciri baju baharu MPK itu mengetengahkan tema '3B' (Berserumpun, Bersepakat membawa Berkat) dengan konsep moden yang dicipta oleh salah seorang Ahli MPK, Awang Rozaimi bin Haji Lamit.
Sehubungan itu, para penduduk kampung yang ingin untuk menjadi sukarelawan bagi ahli MPK juga sangat dialu-alukan demi sama-sama ke arah menjayakan lagi apa jua jenis aktiviti yang diselenggarakan oleh pihak MPK kerana kejayaan sesebuah kampung itu juga hasil daripada kerjasama dan peranan serta tanggungjawab setiap penduduk itu sendiri.